Friday, January 23, 2009

BILA KAH PERGADUHAN KAUM AKAN TERJADI????

Ini satu ketakutan yang sentiasa tertanam di sanubari setiap kaum di Malaysia, untuk menambah rasa gerun itu, di gambar-gambarkan pula kejadian pergaduhan kaum 13 Mei 1969….

Saudara saudari sekelian, mengapa kita saling curiga mencurigai antara sesama kaum?
Mengapa kaum China seperti tidak selesa dengan kaum Melayu dan mengapa Kaum Melayu pula seperti ada rasa tidak puas hati terhadap kaum China dan mengapa Kaum India pula berasa seperti dipinggirkan…..

Ingin tahu mengapa?
Ini semua adalah hasil kerja dan perjuangan orang-orang politik. Mereka lah bertanggung jawab membuatkan SEMUA kaum berasa resah dan gelisah.
Tidak kira parti apa pun, baik pembangkang mahu pun parti pemerintah semuanya memainkan isu perkauman. Ahli politik Melayu memomokkan minda orang Melayu konon ketuanan Melayu kini kian terhakis. Ahli politik China pula mencucuk sanubari orang China supaya jangan rasa selesa kerana orang Melayu sentiasa anti mereka, ahli politik India pula menghangatkan semangat orang India supaya menuntut berbagai kemudahan konon bangsa lain tidak mempedulikan mereka.

Saudara saudari sekelian,

Sebenarnya china baik india baik melayu, tidak mahu bergaduh, tidak ada perkauman tidak ada pilihan warna dalam kehidupan seharian mereka. Pergilah tengok bagaimana orang-orang Malaysia hidup….

Dalam keseronokan bangsa Malaysia hidup aman damai inilah muncul ahli politik dengan laungan perkauman, kerana apa? Kerana kalau rakyat aman damai bersatu mereka tidak ada platform perjuangan, mereka tidak ada produk untuk dijaja kepada kaum masing masing.


Cuba fikir baik baik, di zaman manusia berfikir secara intelek ini, mahukah kita bergaduh dengan bangsa lain sehingga negara porak poranda?
Kita semua cintakan keamanan, cintakan kedamaian, si celaka orang politiklah yang meniup angin perkauman.
AWAS! Jangan tertipu dengan laungan perkauman orang politik
Mereka kata ketuanan kaum masing masing sudah kian terhakis dan hilang… pada sebenarnya kuasa dan kedudukan mereka itu yang terhakis dan kian hilang.
Duit dalam bank mereka semakin nipis, projek sudah tidak ada banyak lagi untuk disakau lalu mereka rasa mereka perlu jadi hero. Tiup api perkauman satu jalan singkat untuk orang politik (baik parti pemerintah atau pembangkang) untuk menjadi HERO palsu.

Apabila sudah dilabel sebagai Hero, maka mereka dengan mudah mendapat kedudukan, setelah menyandang kedudukan, mereka akan menganga mulut seluas-luasnya untuk telan projek dan segala macam peluang yang sedia ada….
Oleh itu, marilah kita semua bersatu dan berwaspada dengan laungan perkauman yang konon berjuang membela bangsa…. Padahal membela geng geng mereka kemudian hari nanti….

No comments:

Post a Comment